DASAR BARU KPM

Dasar Baru KPM

DASAR BARU KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
Falsafah Pendidikan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1989 menjadi asas kepada semua usaha transformasi pendidikan. Matlamat Falsafah ini adalah untuk membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi keupayaan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Bagi memperkukuh hasrat Falsafah ini, penekanan yang lebih akan diberi kepada penglibatan dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum sebagai usaha ke arah memupuk pembangunan sahsiah pelajar. Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah akan dipergiatkan bagi memupuk kreativiti dan inovasi pelajar ke arah melengkapkan mereka dengan kemahiran dan keupayaan terkini yang diperlukan oleh negara berpendapatan tinggi.
Terdapat 5 Dasar Baru KPM iaitu :
1)  RMK10 (PENDIDIKAN)
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), Kerajaan akan mengguna pakai rangka kerja pembangunan modal insan yang bersepadu. Rangka kerja ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat di sepanjang kitar hayat, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan asas, pendidikan tertiari sehingga ke alam pekerjaan dengan melaksanakan strategi berikut:
• Merombak sistem pendidikan untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan signifikan;
• Meningkatkan kemahiran rakyat untuk meluaskan kebolehpasaran; dan
• Menyusun semula pasaran pekerjaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Prestasi pendidikan yang rendah memberi kesan negatif kepada masa depan negara memandangkan tahap pendidikan yang tinggi berkait rapat dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Sekiranya tahap pendidikan negara tidak ditingkatkan ke peringkat piawaian antarabangsa, serta jurang pencapaian sekolah tidak dikurangkan, Malaysia akan ketinggalan dalam pendidikan dan kehilangan daya saing pada masa hadapan.
Dalam tempoh Rancangan, Kementerian Pelajaran (KPM) akan menjalankan penilaian dan kajian semula sistem pendidikan secara komprehensif dengan memberikan tumpuan khusus kepada peningkatan keberkesanan pelaksanaan program pendidikan.
Pendidikan adalah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). NKRA pendidikan merupakan landasan dan titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar dalam sistem pendidikan peringkat sekolah secara menyeluruh, serta membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Maklumat Lanjut : Sila klik di sini.

2)  BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN

Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
NKRA
Maklumat Lanjut : Sila klik di sini.

3)  KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan kepada rekabentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR.
KSSR dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 bermula dengan Tahun 1 di semua sekolah rendah seluruh negara.
Maklumat Lanjut : Sila klik di sini.

4)  1 MURID 1 SUKAN (1M 1S)
Dasar 1M 1S berhasrat untuk :
a) Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun; dan
b) Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Maklumat Lanjut : Sila klik di sini.

5)  MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Maklumat Lanjut : Sila klik di sini.